AFC Ajax Kembali Guna Logo Lama Bermula Musim 2025-26
November 18, 2024 Hafizuddin Omar

Tatkala kelab-kelab bola sepak yang bersejarah di seluruh dunia menukar logo atau lencana ikoniknya kepada rekaan yang lebih ringkas untuk paparan digital dan nilai komersial yang lebih baik, lain pula yang dilakukan oleh juara eropah sebanyak empat kali, AFC Ajax.

Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikongsikan, AFC Ajax yang merupakan juara Liga Belanda sebanyak 36 kali mengumumkan kembali menggunakan logo klasiknya bermula musim 2025-26 kelak.

Difahamkan, logo yang pernah digunakan AFC Ajax dari tahun 1928 hingga 1991 yang memaparkan lukisan penuh pahlawan Greek iaitu Ajax atau Aias serta perisai berwarna merah dan putih itu berikutan sambutan ke-125 penubuhan mereka pada 18 Mac hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AFC Ajax menyatakan ini merupakan detik yang terbaik untuk menggunakan dan memulangkan kembali logo klasik tersebut kepada para penyokong dan diri mereka sendiri.

Menerusi kenyataan yang sama, AFC Ajax memaklumkan logo ini akan mula dipaparkan secara rasmi bermula musim baharu kelak dan ianya akan diimplemenkan secara berkala terhadap kesemua aset-aset kelab.

Sebagai rekod, AFC Ajax atau nama penuhnya, Amsterdamsche Football Club Ajax ditubuhkan pada 18hb Mac 1900 dan mempunyai empat buah logo atau lencana sehingga ke hari ini.

Featured Image:  AFC Ajax

Komen