Johor Darul Ta’zim (JDT) nampaknya terpaksa melupakan khidmat pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) sebanyak tiga kali berturut-turut iaitu Arif Aiman Mohd. Hanapi dalam tiga perlawanan berikutnya.
Ini susulan pemain berusia 22 tahun telah dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Hukuman itu dijatuhkan kepada Arif berikutan kelakuan yang menyinggung dan fair play, akibat daripada tindakannya menumbuk di bahagian muka sebelah kiri pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada ketika menentang skuad berjulukan The Bos Gaurus di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 10hb November lalu.
“Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kuala Lumpur Rovers FC pada 20hb dan 30hb November 2024 serta perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kuala Lumpur City FC pada 8hb Disember 2024.” tulis kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu pada hari ini.
“Pemain ini juga adalah diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.” tambah Dr. Baljit lagi.
Sementara itu, pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada turut dikenakan hukuman yang sama – penggantungan tiga perlawanan.
“Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kelantan Darul Naim FC pada 22 dan 30 November 2024 serta perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kedah Darul Aman FC pada 4 Disember 2024.” katanya.
“Pemain ini juga adalah diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.” tambahnya.
Tommy, 29 tahun, dikenakan hukuman itu atas kesalahan melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play, akibat daripada tindakannya menanduk kepala dan seterusnya mencengkam leher sebelah kiri Arif Aiman pada perlawanan tersebut.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers