Syarikat yang sebelum ini bercadang untuk mengambil alih Kedah Darul Aman FC iaitu DSAT Group menerusi anak syarikatnya, Mahsuri Medical Centre (MMC) akan memfailkan saman sebanyak RM1 bilion terhadap Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor.
Perkara tersebut dinyatakan sendiri oleh Pengerusi Eksekutif DSAT Group, Dato’ Seri Azizul Tandek menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya.
“DSAT Group memutuskan akan saman MB Kedah 1 bilion atas kenyataannya pada 7 November 2024 di MPSPK, see you in court (jumpa anda di mahkamah),” tulisnya.
Difahamkan, ianya merujuk kepada kenyataan oleh Sanusi yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ketika sidang media di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) pada 7 November lalu.
Dalam sidang media tersebut, Sanusi berharap pihak yang berminat untuk mengambil alih skuad berjulukan Sang Kenari benar-benar berkemampuan untuk menguruskannya.
“Kalau dia ada kemampuan untuk selesai masalah silakan, kita harap dan berdoa dia adalah kemampuan itu. Jangan scam-lah, belum apa-apa lagi dah buat kenyataan macam-macam dah.
“Macam scammer, tak baguslah. Dia tak ada sangkut paut dengan kita, dia tak berurusan dengan kita dan dia tak perlu kebenaran saya atau Exco sukan (untuk ambil alih KDA),” ujar Sanusi dalam sidang media terbabit.
Sebelum ini, Azizul mendakwa DSAT Group telah ditawarkan penjualan sebanyak 49% pegangan saham Darulaman Football Club Sdn Bhd, syarikat yang memiliki Kedah Darul Aman FC, menerusi satu surat yang dihantar oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Khamal Idris Ali, pada tahun lalu.
Selepas itu, Azizul mendakwa tawaran yang sama datang kembali menerusi Exco Kepenggunaan, Kos Sara Hidup serta Belia & Sukan Negeri Kedah, YB Radhi Mat Din merangkap .
Pada penghujung Oktober lalu, pemilik majoriti Kedah Darul Aman FC mengalu-alukan hasrat oleh mana-mana pihak untuk mengambil alih kepentingan skuad Sang Kenari dan menjemput pihak tersebut menghantar Surat Tunjuk Minat (Letter of Interest) atau Surat Tawaran Rasmi (Letter of Offer) secara rasmi.
Pada 3hb November, anak syarikat DSAT Group iaitu MMC menghantar surat berkenaan kepada Kedah Darul Aman FC namun selang lapan hari kemudian, pihak pengurusan Kedah Darul Aman FC menghantar surat maklum balas menyatakan mereka memutuskan untuk tidak meneruskan perbincangan tentang penjualan saham-sahamnya.
Featured Image: Persatuan Bola Sepak Kedah