Piala Malaysia: Sabah FC Terpaksa Guna Stadium Cheras
Hafiz Omar

Perlawanan timbal balik bagi Pusingan 16 Piala Malaysia melibatkan Sabah FC bertemu PT Athtetic FC akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 27hb November ini.
Menurut Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid, Stadium Likas tidak dapat digunakan kerana menjadi venue bagi South East Asean (SEA) Youth Athletic Championship 2024.
Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kota Kinabalu, pada hari ini.
“Tiket fizikal akan mula dijual semasa hari perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bermula 12.00 tengahari manakala semua pas bermusim boleh digunakan di pintu utama stadium.
“Perlawanan akan bermula pada pukul 8.30 malam dan Sabah FC memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” kata Joh Wid.
Beliau berharap semua penyokong setia yang berada di Semenanjung Malaysia khususnya yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang dapat hadir bersama-sama memberikan sokongan padu kepada skuad badak.
Untuk aksi pertama Pusingan 16, Sabah FC akan berhadapan PT Athletic FC bimbingan Nazrulerwan Makmor pada 23hb November (Sabtu) di venue yang sama dengan sepak mula pada jam 5 petang.
Featured Image: Sabah FC