Kedua-dua beregu lelaki utama negara iaitu gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin berhasil melangkah ke pusingan 16 China Masters 2024.
Beregu lelaki No.1 negara, Aaron-Wooi Yik melakar langkah tersebut selepas meraih kemenangan ke atas beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri dan Daniel Marthin pada pusingan 32, hari ini.
Aaron-Wooi Yik meraih kemenangan ke atas beregu yang menduduki ranking ke-33 dunia tersebut secara “straight set” menerusi skor 21-12 dan 21-18 dalam tempoh masa 39 minit.
Hasil kemenangan itu membawa mereka bertemu beregu bebas (independent) senegara, Nur Mohd Azriyn dan Tan Wee Kiong untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir bagi Jelajah Dunia BWF Super 750.
Terdahulu Azriyn-Wee Kiong mara selepas menumpaskan beregu Thailand, Peeratchai Sukphun dan Pakkapon Teeraratsakul secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-15.
Sementara itu, beregu lelaki No.2 negara, Sze Fei-Izzuddin pula mengikuti jejak langkah yang sama susulan menumbangkan beregu Jepun, Kenya Mitsuhashi dan Hiroki Okamura – penghuni ranking ke-20 dunia.
Pasangan Jepun tersebut tewas di tangan Sze Fei-Izzuddin menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-23, 21-14 dan 21-13 dalam tempoh masa 61 minit.
Pada pusingan 16 kelak, Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh akan bertemu salah satu daripada beregu Chinese Taipei samada Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin ataui Fang Chih Lee-Fan Jen Lee.
Featured Image: Perodua Malaysia Masters