Tonggak pertahanan Perak FC, Shivan Pillay sudah tidak sabar untuk mengharungi kempen Piala Malaysia 2024-25 bermula dengan menentang Kelantan Darul Naim FC, pada Jumaat nanti.
Melihat kepada prestasi semasa pasukan, pemain berusia 23 tahun itu mahu skuad berjulukan The Bos Gaurus ini mengulangi pencapaian musim lalu selain mahu melihat Perak FC menjadi pencabar hebat kepada pasukan-pasukan lain.
“Untuk Piala Malaysia, tahun lepas kami mara hingga separuh akhir. Sudah tentu musim ini Perak FC sekurang-kurangnya mahu melepasi pusingan separuh akhir dan beraksi lebih baik.”
“Kempen Liga Super dan Piala Malaysia itu berbeza, dari segi format dan sebagainya. Kita akan buat yang terbaik dan mengharapkan untuk mara lebih jauh,” ujar Shivan.
Dalam pada itu, Shivan melihat banyak sisi positif pasukan Perak ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super baru-baru ini. Biarpun tewas, usaha dan kesungguhan rakan sepasukan amat baik sambil mengharapkan semangat tidak mudah mengalah itu dapat diteruskan.
“Bagi saya di separuh masa kedua kita berjaya tunjukkan yang kita mampu bersaing dengan JDT. Mereka bermain dengan bagus dan saya bangga dengan rakan sepasukan,” kata Shivan.
“Dalam pasukan ada banyak penambahbaikan. Dari perlawanan pertama di awal musim hingga sekarang, kita sentiasa bekerja keras untuk berada di kedudukan terbaik dan selepas ini kita lihat peluang di pentas Piala Malaysia pula.”
Bagi Piala Malaysia edisi ke-98 ini, 16 kelab terbaik telah pun diundi untuk menentukan lawan masing-masing dimana Perak FC pula diundi berdepan Kelantan Darul Naim FC bagi peringkat pusingan 16.
Untuk makluman, format Piala Malaysia 2024-25 sama seperti edisi sebelum ini bermula dengan pusingan 16, suku akhir dan separuh akhir akan dimainkan secara timbal balik sebelum dua pasukan terbaik mara ke pentas akhir.
Featured Image: Perak Football Club