China Masters: Pang Ron Hadap Beregu No.3 Dunia Di Pusingan 16
November 20, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu campuran negara yang menghuni ranking ke-23 dunia, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin akan berhadapan gandingan No.3 dunia, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin pada pusingan 16, China Masters 2024.

Kedua-duanya bertembung selepas Pang Ron-Su Yin menumpaskan pasangan No.108 dunia dari Chinese Taipei, Liu Kuang Heng dan Jeng Yu Chieh pada pusingan 32, hari ini.

Dalam perlawanan tersebut, Pang Ron-Su Yin melakar kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-12 dalam tempoh sekitar setengah jam.

Ini merupakan kemenangan pertama Pang Ron-Su Yin meraih kemenangan ke atas Liu-Jeng selepas tewas dalam pertemuan sulung yang berlangsung di Terbuka Korea 2024 menerusi skor 18-21, 21-17 dan 14-21.

Sementara itu, Zhen Bang-Ya Xin pula mara selepas menumbangkan sepasang lagi beregu campuran negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-11 dalam masa 40 minit.

Berdasarkan rekod, Pang Ron-Su Yin pernah bertemu Zhen Bang-Ya Xin sebanyak dua kali di Terbuka Australia dan Terbuka Denmark pada Jun dan Oktober tahun ini masing-masing.

Namun begitu, kedua-dua pertemuan tersebut berakhir dengan Pang Ron-Su Yin mengalami kekalahan.

Featured Image: BAM

Komen