China Masters: Lee Zii Jia Kandas Pusingan 32
November 20, 2024 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia terpaksa akur kandas seawal pusingan 32 di kejohanan China Masters 2024.

Ini susulan pemain berusia 26 tahun berkenaan tumpas di tangan Lakshya Sen dari India pada peringkat tersebut, pada hari ini.

Zii Jia yang menghuni ranking ketujuh dunia bermula dengan langkah kiri apabila tewas set pertama di tangan Sen menerusi skor 14-21.

Bagaimanapun, Zii Jia kelahiran Alor Setar, Kedah berjaya bangkit untuk melakar kemenangan pada set kedua menerusi skor 21-13 dan mengheret permainan ke set ketiga atau penentuan.

Bagaimanapun, Sen yang sekadar menghuni ranking ke-17 dunia pada ketika ini berhasil meningkatkan semula corak permainannya dan berjaya merakamkan kemenangan ke atas Zii Jia menerusi skor 21-13 sekaligus menyingkirkan Zii Jia daripada Jelajah Dunia BWF Super 750 ini.

Sebagai rekod, keputusan pada hari ini menjadikan Zii Jia telah tewas sebanyak lima kali di tangan Sen daripada tujuh pertembungan di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Sen yang melakar kemenangan dapat meneruskan kempennya ke pusingan 16. Menantinya di peringkat itu samada pemain Jepun, Kenta Nishimoto atau pemain Denmark, Rasmus Gemke.

Featured Image: Olympic Council Of Malaysia

Komen