Pemilik kelab Melaka FC, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad percaya dengan penambahan dua pemain import baharu akan memperkuatkan lagi pasukan ini untuk berentap menentang Terengganu FC dalam aksi pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.
Melaka FC antara yang tidak melepaskan peluang untuk merekrut dua pemain import dari Guinea dan Perancis masing-masing iaitu Oumar Bangoura dan Rodrigue Nanitelamo bagi membantu di barisan tengah dan pertahanan pasukan.
Nur Azmi menyifatkan dengan penambahan ini sekurang-kurangnya dapat membantu kelab melakukan persediaan lebih rapi memandangkan Terengganu FC mempunyai ramai pemain berkualiti baik kalangan import dan mahupun tempatan.
“Pada awalnya kita tidak ada menuntut atau memohon pun untuk pemain import tambahan tetapi dengan kebenaran yang telah diberikan, inilah peluang berharga supaya pasukan kita dapat bersedia dengan lebih baik.
“Kita pun tahu kebanyakan pasukan Liga Super mengeluarkan perbelanjaan yang besar dan mereka adalah pasukan-pasukan terbaik di liga, jadi sudah tentu mereka akan bagi tentangan hebat kepada kita.
“Jadi, daripada kelab A1, kami sudah ada dua import dan penambahan dua lagi pemain dapat buat kita sedikit selesa di mana kita dapat melihat bagaimana Melaka FC akan cuba beraksi dengan baik menentang pasukan lebih hebat di pentas Piala Malaysia,” jelasnya.
Untuk makluman, tiga kelab dari saingan Liga A1 Semi Pro yang layak ke saingan Piala Malaysia termasuk PT Athletic FC dan KL Rovers FC dibenarkan untuk menambah pendaftaran dua lagi pemain import bagi beraksi di pentas Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup musim ini.
Penambahan itu diberikan dengan tujuan untuk memperkasakan lagi pasukan serta dapat memberikan saingan lebih sengit kepada kelab-kelab Liga Super dalam kejohanan berkenaan.
Ketika ini, Melaka FC cemerlang menghuni tangga teratas Liga A1 Semi Pro dengan 43 mata.
Pada masa yang sama, kelab ini juga tidak berdepan sebarang masalah kewangan di bawah teraju Nur Azmi di mana kebajikan pemain sentiasa menjadi keutamaan bagi memastikan kelab itu terus bertahan.
Berikutan situasi itu, penyokong juga mula menerima dan menyokong Melaka FC selain dapat membezakan diri mereka dengan Melaka United FC.
“Saya dah nampak sedikit berbeza daripada segi penerimaan peminat sebab dulu mereka ini adalah peminat kelab Melaka United yang terdahulu.”
“Jadi, apabila kelab itu gagal melakukan tanggungjawab, peminat dah nampak apa yang berlaku dan kita pada mulanya tahun lepas pun ada terkena juga (tempias).”
“Tapi apabila kita semakin baik dan dah mula menang, penyokong mula datang balik.”
“Sekarang kita boleh nampak penyokong dah mula faham dan dapat bandingkan dah antara kelab Melaka United yang dahulu dan Melaka FC yang sekarang,” tambahnya.