Pasukan yang menghuni tangga ketiga Liga Super, Sabah FC akan kehilangan khidmat ketua jurulatihnya iaitu Datuk Ong Kim Swee selepas aksi menentang PT Athletic FC, perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia, 23hb November (Sabtu).
Ini susulan jurulatih berusia 53 tahun berkenaan mengumumkan memilih untuk membawa haluan berbeza dengan majikannya. Selain itu, Kim Swee turut memaklumkan tidak meneruskan tugasannya apabila kontraknya tamat pada November 2024.
“Tugasan terakhir saya adalah perlawanan menentang PT Athletic pada 23 November 2024.” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.
“36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa. Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk memimpin kelab bola sepak yang hebat ini.” tambahnya lagi.
Perkembangan ini pastinya menjadi satu kejutan terutamanya dalam kalangan peminat skuad berpangkalan di kepulauan borneo terbabit kerana Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA) – pemilik kepada Sabah FC – baru sahaja mengumumkan bersetuju untuk melanjutkan kontrak Kim Swee sehingga penghujung April 2025 pada awal November baru-baru ini.
Lanjutan itu dicapai secara sebulat suara dalam satu mesyuarat khas yang diadakan dan ianya diberikan supaya Sabah FC dapat mengekalkan momentum kemenangan dan meningkatkan prestasi pasukan khususnya dalam menghadapi saingan Piala Malaysia.
Sebagai rekod, Kim Swee mula mengendalikan Sabah FC pada 1hb Oktober 2021 selepas meletakkan jawatan sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sejak dari itu, Kim Swee telah mengemudi Sabah FC menghuni tempat ketiga Liga Super sebanyak dua kali berturut-turut pada musim 2021 dan 2022 serta mara ke peringkat kalah mati Piala AFC 2023.
Featured Image: Sabah Football Club