Beregu campuran No.2 tanah air, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei berjaya mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir Jelajah Dunia BWF Super 750.
Gandingan pemain berusia 26 dan 24 tahun masing-masing itu melakar kemaraan berkenaan selepas menumbangkan beregu Perancis menghuni ranking ke-17 dunia, Thom Gicquel dan Delphine Delrue pada pusingan 16 China Masters 2024, pada hari ini.
Dalam pertarungan tersebut, Tang Jie-Ee Wei terlebih dahulu menanggung kekalahan pada set pertama ekoran tewas dengan skor 14-21 di tangan Thom-Delphine.
Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei bangkit dan memberikan tentangan sengit pada set kedua sebelum meraih kemenangan menerusi skor 23-21 dan mengheret pertarungan itu ke set penentuan.
Momentum dan rentak kemenangan daripada set kedua itu diulangi dengan cemerlang oleh Tang Jie-Ee Wei dan mereka berhasil menamatkan pertarungan dengan skor 21-8.
Sebagai rekod, keputusan tersebut menjadikan Tang Jie-Ee Wei kini telah menumpaskan Thom-Delphine sebanyak tiga kali daripada empat pertemuan secara keseluruhan di pentas antarabangsa.
Sementara itu, hasil kemenangan tersebut, Tang Jie-Ee Wei akan bertembung dengan beregu yang menghuni ranking ke-13 dunia, Guo Xin Wa dan Chen Fang Hui.
Pasangan dari China itu mara selepas menyingkirkan Yuta Watanabe dan Maya Taguchi dari Jepun secara “straight set” menerusi skor 21-12 dan 21-9.
Untuk makluman, Tang Jie-Ee Wei pernah berentap menentang Xin Wa-Fang Hui di Terbuka Hong Kong 2024 dan ianya berakhir dengan Tang Jie-Ee Wei melakar kemenangan menerusi skor 21-13, 17-21 dan 21-10.
Featured Image: PERODUA Malaysia Masters 2023