China Masters: Pang Ron-Su Yin Cipta Kejutan, Singkir Beregu No.3 Dunia
November 21, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.3 dunia dari China, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin tersingkir daripada saingan China Masters 2024 – Jelajah Dunia BWF Super 750.

Lebih mengejutkan, penyingkiran mereka itu berikutan tumpas di tangan beregu campuran No.4 negara iaitu Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin ketika bertemu di pusingan 16, pada hari ini.

Dalam pertarungan tersebut, Pang Ron-Su Yin yang menghuni ranking ke-23 dunia menumpaskan Zhen Bang-Ya Xin merangkap pilihan ketiga kejohanan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 16-21, 21-14 dan 21-19 dalam tempoh 51 minit.

Bukan itu sahaja, ini merupakan juga merupakan kemenangan sulung Pang Ron-Su Yin melakar kemenangan ke atas Zhen Bang-Ya Xin selepas tewas dalam dua pertemuan terdahulu yang berlangsung di Terbuka Australia dan Terbuka Denmark pada tahun ini.

Susulan kemenangan ini, Pang Ron-Su Yin melakar kemaraan ke peringkat suku akhir dan menanti mereka di situ adalah beregu Chinese Taipei yang menghuni ranking ke-33 dunia, Chen Cheng Kuan dan Hsu Yin Hui.

Pasangan ini turut mara dengan mencipta kejutan apabila menumpaskan pilihan ketujuh kejohanan, Cheng Xing dan Zhang Chi secara “straight set” menerusi skor 22-20 dan 22-20.

Sebagai rekod, Pang Ron-Su Yin pernah bertemu pasangan ini sebanyak satu kali sebelum ini dalam saingan Orleans Masters 2024 dan pertembungan itu berhasil dimenangi beregu negara secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-11. 

Featured Image: BAM

Komen