Beregu lelaki No.2 tanah air, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin berhasil meraih tiket kemaraan ke peringkat suku akhir China Masters 2024.
Tiket tersebut menjadi milik gandingan pemain berusia 27 tahun masing-masing berkenaan selepas berjaya menjinakkan beregu Chinese Taipei yang menghuni ranking ke-50 dunia, Chiu Hsiang Chieh dan Wang Chi Lin pada pusingan 16 yang berlangsung pada hari ini.
Dalam pertarungan tersebut, Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan selaku pilihan ketujuh kejohanan menumpaskan lawannya secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-16 dalam tempoh masa 37 minit.
Susulan kemenangan tersebut, Sze Fei-Izzuddin akan berhadapan beregu Indonesia yang menduduki ranking ke-13 dunia, Sabar Karyaman Gutama dan Reza Pahlevi Isfahani.
Gandingan mara selepas melakukan kejutan ke atas beregu No.1 dunia, Liang Wei Keng dan Wang Chang dengan mencatatkan kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-10 dan 21-16.
Berdasarkan rekod, Sze Fei-Izzuddin pernah bertemu Sabar-Reza sebanyak satu kali di saingan Indonesia Masters 2022 dimana beregu negara berhasil meraih kemenangan menerusi skor 23-21, 17-21 dan 21-9.
Featured Image: BAM