Kelantan Darul Naim FC ‘Nomad’ Sehingga Penghujung 2024
November 21, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan yang berpangkalan di pantai timur semenanjung, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) terpaksa menangguhkan lagi hasrat untuk menggunakan kembali Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV).

Ini susulan stadium tersebut masih belum boleh digunakan sehingga ke penghujung tahun ini atau Disember 2024 berikutan kerja-kerja naik taraf sistem perparitan dan longkang masih belum selesai, demikian kenyataan yang dikongsikan oleh pihak kelab.

Sebelum ini, Exco Belia, Sukan & NGO Negeri Kelantan, YB Zamakhshari Muhamad memaklumkan kerja-kerja yang menggunakan dana daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu dijangka siap pada pertengahan Oktober.

Manakala ketua jurulatih KDN FC, Park Jae-hong juga pernah berkongsikan kepada pihak media bahawa skuad bimbingannya berjulukan Kijang Emas akan kembali beraksi di SSMIV pada 25hb Oktober untuk menentang Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super.

Tambah pihak kelab lagi, dilaporkan pemasangan longkang telah siap sepenuhnya dan pada saat ini pasukan teknikal sedang memberi tumpuan kepada pemasangan paip dan pendawaian. 

Untuk makluman semua, kerja-kerja naik taraf ini telah dimulakan pada Ogos lalu. Kenyataan itu juga menyatakan bahawa Zamakhshari menjangkakan SSMIV akan kembali beroperasi sepenuhnya untuk semua aktiviti sukan bermula Januari 2025.

Sementara menantikan kerja-kerja tersebut selesai, KDN FC terpaksa melangsungkan perlawanan “home” bagi saingan Liga Super, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup sepanjang November dan Disember di venue berkecuali.

Untuk aksi pertama pusingan 16 saingan Piala Malaysia 2024-25 menentang Perak FC pada Jumaat, KDN FC telah memilih Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai “home”.

View this post on Instagram

A post shared by KDN FC (@kelantan_unitedfc)

Komen