
Beregu campuran No.2 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei diambang penyingkiran apabila ketinggalan 11-20 pada set kedua ketika bertemu beregu tuan rumah iaitu Guo Xin Wa dan Chen Fang Hui pada peringkat suku akhir China Masters 2024, pada hari ini.
Sebelum itu, pada set pertama, Xin Wa-Fang Hui yang merupakan beregu campuran No.3 China berhasil mencatatkan kemenangan menerusi skor 21-14.
Bagaimanapun, pasangan yang menghuni ranking kesepuluh dunia ini berhasil bertahan dengan mengutip satu demi satu mata sehingga mengikat Xin Wa-Fang Hui dengan kedudukan 20-20 sekaligus mendapat “deuce”.
Set tersebut berjaya disudahkan Tang Jie-Ee Wei dengan skor 23-21 sekaligus mengekang Xin Wa-Fang Hui daripada meraih kemenangan secara “straight set” dan mengheret mereka ke set ketiga untuk mencari pemenangnya.
Pada set ketiga, Tang Jie-Ee Wei meneruskan rentak dan persembahannya dan berhasil melakar kemenangan menerusi skor 21-16 sekaligus muncul pemenang dan merampas tiket kemaraan ke peringkat separuh akhir bagi saingan Jelajah Dunia BWF Super 750.
Pada peringkat seterusnya, Tang Jie-Ee Wei akan berhadapan sepasang lagi beregu tuan rumah yang menghuni ranking kedua dunia merangkap juara asia iaitu Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping.
Gandingan ini mara susulan menumbangkan beregu Chinese Taipei, Yang Po-hsuan dan Hu Ling Fang secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-13.
Berdasarkan rekod, Tang Jie-Ee Wei dan Yan Zhe-Dong Ping sudah pernah berentap sebanyak lima kali di pentas antarabangsa dimana Tang Jie-Ee Wei meraih dua kemenangan dan Yan Zhe-Dong Ping melakar tiga kemenangan.
Featured Image: BAM