Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin yang mula bergandingan bersama sejak sekitar setahun lalu melakar satu pencapaian baharu apabila mara ke peringkat separuh akhir Jelajah Dunia BWF Super 750 buat julung kalinya.
Gandingan yang kini menghuni ranking ke-23 dunia terbabit melakar kemaraan tersebut selepas menumbangkan beregu Chinese Taipei, Chen Cheng Kuan dan Hsu Yin Hui secara “straight set” menerusi skor 21-10 dan 21-16 pada peringkat suku akhir China Masters 2024, pada hari ini.
Bukan itu sahaja, Pang Ron-Su Yin juga tidak mengambil masa yang lama untuk merekodkan kemenangan tersebut dengan beraksi sekitar setengah jam sahaja di atas Gelanggang 2 bertempat bertempat di Shenzhen Arena.
Untuk peringkat seterusnya, Pang Ron-Su Yin akan berhadapan dengan beregu Hong Kong yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan iaitu Tang Chun Man dan Tse Ying Suet untuk merebut tiket ke perlawanan akhir.
Menariknya, beregu Hong Kong yang menghuni ranking ketujuh dunia itu sudah pernah dikalahkan Pang Ron-Su Yin ketika bertembung buat julung kalinya di Terbuka Macau 2024 pada September lalu.
Dalam pertarungan tersebut, Pang Ron-Su Yin meraih kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-18.
Featured Image: BAM