Juara Liga Perdana (PL) sebanyak empat kali berturut-turut, Manchester City akan terus menggunakan khidmat Pep Guardiola selaku pengurusnya sekurang-kurangnya sehingga musim 2026-27.
Perkembangan ini hadir selepas pengurus berusia 53 tahun daru Catalan tersebut bersetuju menandatangani lanjutan kontrak bersama skuad berjulukan The Cityzen selama dua tahun lagi.
Perkara tersebut diumumkan oleh Manchester City secara rasmi dan dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.
Untuk makluman semua, Guardiola mula mengendalikan Manchester City pada musim 2016-17.
Sejak dari itu, Guardiola yang sebelum ini menguruskan Bayern Munich dan FC Barcelona telah menyumbang 18 trofi kejohanan utama buat Manchester City termasuk enam kejuaraan PL dan satu kejuaraan eropah.
Bukan itu sahaja, kehadiran Guardiola turut membolehkan Manchester City menempa sejarah baharu seperti menjadi kelab pertama meraih 100 mata dalam semusim, menjadi kelab Inggeris pertama menjuarai kesemua empat trofi kejohanan utama selain skuad lelaki pertama menjuarai kejuaraan Liga Inggeris secara empat kali berturut-turut.
Selain itu, Guardiola turut melakar rekod cemerlang bersama Manchester City dengan memenangi 353 daripada 490 perlawanan yang memberikan peratusan kemenangan sebanyak 72%.
Penyambungan kontrak ini juga akan menyaksikan Guardiola mengendalikan The Cityzen lebih dari sedekad dan menghampiri tempoh Les McDowall menjadi pengurus Manchester City dari 1950 hingga 1963 – pengurus paling lama dalam sejarah kelab.
Ketika ini, Manchester City sedang berada di tangga kedua PL dengan pungutan 23 mata – perbezaan lima mata dengan pendahulu iaitu Liverpool bimbingan Arne Slot.
Featured Image: Manchester City