China Masters: Pang Ron-Su Yin Mara Ke Final, Kejutkan Pilihan Ketiga Kejohanan
November 23, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.4 tanah air, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin muncul satu-satunya wakil Malaysia yang melakar kemaraan ke perlawanan akhir China Masters 2024 – Jelajah Dunia BWF Super 750.

Gandingan pemain berusia 26 dan 21 tahun masing-masing itu mencetak kemaraan tersebut dengan mengejutkan pilihan ketiga kejohanan dari Hong Kong, Tang Chung Man dan Tse Ying Suet pada peringkat separuh akhir, hari ini.

Dalam pertarungan tersebut, Pang Ron-Su Yin yang menghuni ranking ke-23 dunia terlebih dahulu melakar kemenangan pada set pertama menerusi skor 21-14.

Bagaimanapun, Chung Man-Ying Suet berhasil mengekang Pang Ron-Su Yin daripada mencatatkan kemenangan secara “straight set” dengan memenangi set kedua menerusi skor 21-17.

Kedudukan itu sekaligus memaksa pertarungan dilanjutkan ke set ketiga atau penentuan bagi menentukan pemenang tiket kemaraan ke perlawanan akhir bagi kejohanan ini.

Set berikutnya berlangsung sengit dengan kedua-duanya saling kejar-mengejar bagi mendapatkan mata demi mata. Namun di penghujung pertarungan, Pang Ron-Su Yin berhasil mengekalkan fokusnya dan mengakhiri set tersebut dengan kemenangan menerusi skor 21-19.

Untuk makluman, pertarungan sengit melibatkan Pang Ron-Su Yin dan Chung Man-Ying Suet itu berlangsung selama lebih satu jam. 

Pada perlawanan akhir yang berlangsung pada hari esok, Pang Ron-Su Yin akan membuat perhitungan dengan beregu tuan rumah yang menghuni ranking kedua dunia, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping.

Pasangan tersebut mara selepas berjaya menundukkan sepasang lagi beregu campuran tanah air, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-13 dalam tempoh masa 46 minit.

Featured Image: BAM

Komen