Persoalan mengenai siapakah yang akan mengisi posisi ketua jurulatih Selangor FC selepas kelab berpangkalan di Lembah Klang itu berpisah dengan Nidzam Jamil sekitar penghujung bulan lalu terjawab pada tengah malam tadi.
Menerusi satu kenyataan, Selangor FC yang baru sahaja selesai mengikat Sri Pahang FC dengan keputusan 1–1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia mengumumkan mengikat Katsuhito Kinoshi sebagai ketua jurulatihnya yang baharu.
Sebelum ini, Katsuhito, 60 tahun, kelahiran negara matahari terbit iaitu Jepun, pemegang Lesen Pro UEFA berkhidmat sebagai penolong ketua jurulatih kepada Dragan Stojkovic bersama skuad kebangsaan Serbia dari tahun 2021.
Ketika bersama Serbia, pasukan yang menghuni ranking ke-33 dunia pada saat ini, gandingan Katsuhito bersama Dragan telah membantu skuad berjulukan “The Eagles” terbabit muncul juara Kumpulan 4 Liga Negara-Negara UEFA B 2022-23.
Kejayaan itu membolehkan mereka bertanding di Liga Negara-Negara UEFA A bersama-sama Sepanyol, Denmark dan Switzerland. Bukan itu sahaja, Serbia ketika diterajui oleh gandingan ini turut mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar.
Selain bersama Dragan, Katsuhito juga pernah berada di bawah barisan kejurulatihan yang diterajui oleh pengendali dari Belanda, Giovanni van Bronckhorst dan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Jepun & Thailand, Akira Nishino.
Sebagai rekod, ini merupakan julung kalinya Selangor FC di bawah kepimpinan DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah merangkap Raja Muda Selangor (RMS) menggunakan kepakaran dari Jepun untuk mengisi posisi ketua jurulatih skuad Gergasi Merah.
Sejak bermulanya musim 2019, Selangor FC telah menggunakan khidmat mendiang B. Satianathan, Karsten Neitzel (Jerman), Michael Feichtenbeiner (Jerman), Tan Cheng Hoe dan Nidzam Jamil.
Featured Image: Selangor FC