Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria kembali semula ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas mengumumkan meletakkan jawatan selaku presiden badan induk terbabit pada 24hb Ogos lalu.
Bagaimanapun, kedatangan semula Norza ke BAM bukanlah untuk mengisi semula jawatan yang ditinggalkan tersebut tetapi sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup BAM.
Pengumuman pelantikan Norza, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), menjawat jawatan berkenaan diumumkan oleh Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), pada Sabtu.
Pelantikan Norza itu mendapat ucapan tahniah daripada Timbalan Presiden MOM merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin.
Sebagai rekod, sebelum meletakkan jawatan, Norza telah berkhidmat selaku Presiden BAM sejak tahun 2017.
Untuk makluman, ini merupakan jawatan presiden kehormat kedua dipegang oleh Norza selepas dilantik sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia (BA) bagi penggal 2023-2027 pada April 2023.