Magis beregu campuran No.4 negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin dalam perlawanan akhir pada hari ini nampaknya tidak mencukupi untuk memberikan mereka gelaran juara China Masters 2024.
Pang Ron-Su Yin bermula dengan langkah kanan apabila berhasil meraih kemenangan ke atas lawannya, beregu No.2 dunia, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping pada set pertama.
Set kedua pula berlangsung dengan lebih sengit tetapi berjaya dimenangi oleh Yan Zhe-Dong Ping. Akan tetapi, Pang Ron-Su Yin terpaksa akur terlepas gelaran juara bagi Jelajah Dunia BWF Super 750 terbabit apabila tumpas pada set ketiga.
Perlawanan sengit yang memakan masa sekitar satu jam setengah di Shenzhen Arena itu berakhir dengan keputusan 23-21, 23-25 dan 16-21.
Keputusan itu bukan sahaja menyaksikan Pang Ron-Su Yin terlepas gelaran juara bagi saingan Super 750 sulungnya bahkan menambahkan satu lagi rekod kekalahan bertemu Yan Zhe-Dong Ping di pentas antarabangsa selepas berentap buat julung kalinya di Terbuka Hong Kong 2024.
Bagaimanapun, disebalik kekalahan ini, Pang Ron-Su Yin dijangka memperbaiki kedudukannya dalam Ranking Dunia memandangkan finalis China Masters akan meraih pertambahan 9,350 mata.
Selain itu, mereka juga pastinya tersenyum lebar dengan ganjaran berupa wang tunai sebanyak AS$40,250 atau bersamaan sekitar RM179,816 yang diberikan oleh penganjur.
Featured Image: BAM