Harga tiket bagi menyaksikan skuad senior bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya beraksi pada peringkat Kumpulan A bagi saingan Piala ASEAN 2024 (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF) kekal seperti edisi lalu.
Pengumuman penjualan tiket bagi kejohanan tersebut pada hari ini menyaksikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan kadar harga tiket bagi perlawanan menentang Timor Leste dan Singapura bermula daripada RM30 (Terbuka) diikuti dengan RM50 (Grandstand) dan RM60 (Premium).
Manakala tiket untuk kanak-kanak pula ditetapkan pada kadar RM5 bagi usia 6 hingga 12 tahun.
Kedua-dua perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung pada 11hb (Rabu) dan 20hb (Jumaat) Disember masing-masing bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Tiket bagi kedua-dua perlawanan tersebut boleh dibeli oleh para penyokong dan peminat secara atas talian menerusi lawam sesawang, TicketHotline.
Sebagai rekod, Piala AFF edisi lalu menyaksikan FAM menetapkan harga tiket bagi saingan peringkat kumpulan pada kadar RM50, RM70 dan RM100 bagi Terbuka, Premium dan Grandstand masing-masing sementara harga tiket kanak-kanak adalah RM10.
Selepas dihujani kritikan daripada pelbagai pihak berikutan peningkatan harga yang begitu mendadak, FAM telah membuat pertimbangan semula dan bertindak menurunkan harga tiket menjadi RM45, RM60 dan RM70 bagi kategori Terbuka, Premium dan Grandstand masing-masing.
Namun begitu, harga tiket bagi kanak-kanak pula masih kekal tidak berubah pada kadar RM10.
Penurunan tersebut ternyata masih tidak memuaskan hati beberapa pihak khususnya para penyokong dan peminat maka FAM bertindak menurunkan lagi harga tersebut menjadi RM30, RM50 dan RM60 bagi kategori Terbuka, Premium dan Grandstand masing-masing disamping menurunkan harga tiket bagi kanak-kanak menjadi RM5.
Untuk makluman semua, saingan Piala ASEAN edisi kali ini akan berlangsung bermula 8hb Disember 2024 dan berakhir pada 5hb Januari 2025