Ong Kim Swee Bimbing Kelab Indonesia, Persis Solo Sehingga Tamat Musim 2024-25
November 26, 2024 โ€ข Hafizuddin Omar

Datuk Ong Kim Swee yang berpisah dengan Sabah FC selepas perlawanan menentang PT Athletic FC pada Sabtu lalu kini mendapat tugasan baharu bersama sebuah kelab yang berpangkalan di Indonesia.

Menerusi satu kenyataan rasmi yang disiarkan pada Isnin, jurulatih berusia 53 tahun berkenaan telah diperkenalkan sebagai ketua jurulatih baharu Persis Solo – kelab yang menghuni tangga ke-16 Liga 1 Indonesia.

โ€œLaskar Sambernyawa mengumumkan Ong Kim Swee sebagai pelatih kepala (ketua jurulatih) untuk mengarungi sisa musim Liga 1 2024-25,โ€ tulis kenyataan yang disiarkan oleh Persis Solo di laman sesawang rasminya.

Kim Swee akan mengendalikan perlawanan pertama buat Persis Solo pada 3hb Disember (Selasa) kelak dengan melayani kunjungan Barito Putera di Stadion Manahan bagi aksi ke-12 Liga 1.

Pada saat ini, Persis Solo menduduki tangga ketiga tercorot liga dengan sekadar mengutip tujuh mata daripada sebelas perlawanan.

Untuk makluman, khidmat Kim Swee didatangkan oleh Persis Solo bagi menggantikan ketua jurulatih kelahiran Bosnia iaitu Milomir Seslija, 60 tahun, yang ditamatkan kontraknya dengan persetujuan bersama pihak kelab pada 8hb Oktober lalu.

Sebagai tambahan, ini merupakan julung kalinya Kim Swee yang juga bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan dan mantan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkelana ke luar negara dalam karier kejurulatihannya.

Featured Image: Persis Solo

Komen