Saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) bagi kategori lelaki mahupun wanita bermula musim hadapan akan diwarnai dengan penyertaan sebuah kelab berpangkalan dari Australia iaitu Territory Stingers.
Perkembangan itu hadir selepas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tampil mengumumkan jalinan kerjasama dengan Hoki Wilayah Utara (HNT), pada Isnin.
Pemeteraian kerjasama itu ditandatangani oleh Presiden MHC, Dato’ Sri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HNT, Jason Butcher sambil disaksikan oleh Setiausaha HNT, Eddy O’Brien serta Ahli Lembaga HNT, Logan Raj.
Dimaklumkan, jalinan kerjasama itu akan menyaksikan Territory Stingers akan beraksi dalam saingan MHL bermula tahun 2025 hingga 2028. Bukan itu sahaja, kerjasama itu turut menyaksikan pemain Malaysia bakal beraksi bersama Territory Stingers dalam saingan Liga Australia.
Antara kandungan lain yang disertakan dalam kerjasama terbabit adalah modul progran yang melibatkan jurulatih-jurulatih HNT, kebanyakannya merupakan bekas pemain kebangsaan, untuk mengadakan klinik hoki bersama pemain-pemain di bawah Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP).
Selain itu, kerjasama itu turut merangkumi program pertukaran jurulatih dan pengadil (umpire) tempatan untuk terlibat dalam barisan kejurulatihan HNT serta dalam saingan Liga Australia.
Difahamkan, penyertaan Territory Stingers dalam kancah hoki Malaysia mendapat sokongan daripada Kerajaan Wilayah Utara Australia termasuk bantuan kewangan sebanyak AUS$150,000 atau bersamaan kira-kira RM434,820 sebagai persiapan menyertai MHL 2025.
Untuk makluman, Territory Stingers menjadi kelab luar negara kedua bakal mewarnai saingan MHL 2025 yang dijadualkan membuka tirainya pada 4hb Januari dan melabuhkan tirai pada 22hb Februari 2025.
Terdahulu, Liaoning Hockey Team (lelaki dan wanita) dari China telah memberikan pengesahan awal untuk menyertai MHL 2025 selepas mewarnai saingan MHL 2024.
Subahan mendedahkan terdapat kelab dari India dan Indonesia turut memohon untuk beraksi dalam kancah MHL namun Jawatankuasa Pertandingan MHC menghadkan penyertaan kelab dari luar negara sebanyak dua pasukan sahaja.
Featured Image: Malaysian Hockey Confederation