Ranking BWF: Naib Juara China Masters Sertai Kelompok 20 Terbaik Dunia
November 26, 2024 Hafizuddin Omar

Gandingan pemain berusia 26 dan 21 tahun masing-masing iaitu Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin yang berhasil mencipta kejutan mara ke perlawanan akhir China Masters 2024 kini memasuki kelompok 20 beregu campuran terbaik dunia.

Pengesahan itu hadir selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini terhadapan Ranking Dunia pada hari ini yang menyaksikan Pang Ron-Su Yin melangkau lima anak tangga berbanding kedudukannya pada minggu lalu.

Langkauan itu dicetuskan oleh penambahan 9,350 mata hasil muncul naib juara di kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 750 terbabit dan membolehkan mereka mengumpul 54,4090 mata secara keseluruhan dan menghuni tangga ke-18 dunia bagi minggu ke-48 ini.

Pada masa yang sama, peningkatan tersebut turut menobatkan mereka beregu campuran No.3 negara selepas gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (ranking kelapan dunia) dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai (ranking kesepuluh dunia).

Sementara itu, gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang tumpas seawal pusingan 32 China Masters 2024 pula menjadi beregu No.4 negara selepas merekodkan penurunan dua anak tangga dalam kemaskini yang sama.

Sebagai tambahan, kedudukan ke-18 dunia yang dihuni oleh Pang Ron-Su Yin itu juga merupakan yang tertinggi pernah dikecapi oleh mereka selepas mula bergandingan bersama sejak November 2023.

Featured Image: BAM

Komen