Kekandasan perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia pada pusingan 32 di China Masters 2024 ternyata merosotkan kedudukannya dalam Ranking Dunia.
Menerusi kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, pemain kelahiran Alor Setar berusia 26 tahun terbabit kini terjatuh ke tangga kelapan dunia bagi minggu ke-48 untuk tahun 2024.
2,660 mata yang dipungut daripada China Masters 2024 – Jelajah Dunia BWF Super 750 – ternyata tidak dapat dimasukkan dalam kelompok sepuluh pungutan mata tertinggi daripada kejohanan yang disertainya dalam tempoh 52 minggu terakhir.
Untuk makluman, ini merupakan julung kalinya Zii Jia jatuh ke posisi kelapan dunia selepas menghuni kedudukan berkenaan pada 11hb Jun lalu – sekitar enam bulan lalu.
Walaupun terkandas awal di kejohanan China Masters dan mengalami kejatuhan dalam Ranking Dunia, Zii Jia berjaya mengesahkan tempat ke kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 yang hanya melibatkan lapan perseorangan lelaki terbaik sahaja.
Zii Jia disahkan menyertai kejohanan yang menawarkan wang ganjaran sebanyak AS$200,000 bagi pemenang kategori perseorangan lelaki itu susulan menghuni tangga keenam dalam Ranking Jelajah Dunia BWF.
Pengesahan kelayakan itu diumumkan sendiri oleh BWF pada Khamis lalu bersama-sama perseorangan Thailand, Kunlavut Vitidsarn.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia