Individu yang pernah beraksi bersama-sama Lionel Messi di FC Barcelona dan skuad kebangsaan Argentina iaitu Javier Mascherano kini merupakan pengendali baharu Inter Miami CF.
Perkembangan itu hadir selepas kelab yang disertai oleh Messi itu memperkenalkan Mascherano, 40 tahun, selaku ketua jurulatih baharu bagi kelab yang turut dimiliki oleh David Beckham itu sekitar awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Turut dimaklumkan, Mascherano yang hadir menggantikan Gerardo Martino, meletakkan jawatan atas alasan peribadi, diberikan kontrak untuk mengemudi Inter Miami sehingga tamatnya saingan Major League Soccer (MLS) musim 2027.
Selain kembali bergabung bersama Messi, Mascherano juga akan bertemu dan bekerjasama semula dengan Sergio Busquets, Luis Suarez dan Jordi Alba yang merupakan bekas rakan sepasukannya di Barcelona.
Untuk makluman semua, ini merupakan julung kalinya Mascherano dilantik sebagai ketua jurulatih bagi skuad senior atau utama dalam karier kejurulatihannya.
Mascherano memulakan karier kejurulatihannya pada Disember 2021 dengan mengemudi skuad kebangsaan Argentina bawah 20 tahun (B-20) dan diikuti skuad Argentina bawah 23 tahun (B-23) yang turut beraksi di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Pengalaman itu membuatkan Mascherano tidak asing dengan beberapa pemain muda Argentina yang berada dalam skuad Inter Miami pada ketika ini seperti Tomas Aviles, Benjamin Cremaschi, Facundo Farias dan Federico Redondo.
Featured Image: Inter Miami CF