Lewandowski Muncul Pemain Ketiga Cetak 100 Gol Dalam Sejarah UCL
November 27, 2024 Hafizuddin Omar

Selepas Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi, penyerang kelahiran Poland iaitu Robert Lewandowski menempa sejarah menjadi pemain ketiga yang mencetak 100 gol dalam kancah Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Pemain berusia 36 tahun terbabit menggenapkan jumlah jaringannya menjadi 100 gol apabila menjaringkan gol pembukaan buat FC Barcelona ketika menentang Brest FC di Stadium Olimpik Lluis Companys, awal pagi tadi.

Ianya hadir pada minit 10 permainan menerusi sepakan penalti selepas dirinya sendiri dikasari oleh penjaga gol lawan, Marco Bizot semasa merebut bola di udara di dalam kotak penalti.

Tidak terhenti setakat itu, Lewandowski menambah satu lagi jaringan buat Barcelona dengan merembat leret bola pada minit 90+2 dari dalam kotak penalti ke arah kanan tiang gol selepas mendapat hantaran daripada Alejandro Balde.

https://twitter.com/ChampionsLeague/status/1861502980958163204

Dua jaringannya buat Barcelona itu menjadikan Lewandowski kini telah mengumpul 101 gol dalam kancah UCL.

Sebagai rekod, Ronaldo merupakan pendahulu carta penjaring terbanyak UCL sepanjang zaman dengan jumlah 141 gol diikuti Messi sebanyak 129 gol.

Kalangan peminat bola sepak juga mula membincangkan kemungkinan Lewandowski untuk memintas jumlah jaringan yang dilakukan oleh Messi dan Ronaldo dalam kancah UCL.

Kemungkinan itu terbit atas dasar Lewandowski bukan sahaja masih aktif beraksi di eropah bahkan turut menjadi taruhan utama buat skuad bimbingan Hansi Flick selain Messi dan Ronaldo tidak lagi beraksi di eropah masing-masing.

Pada masa yang sama, nama Lewandowski masih berada di dalam kelompok penyerang terbaik di eropah pada ketika ini dengan telah menjaringkan 22 gol dimana 15 daripada kancah LaLiga manakala baki tujuh lagi daripada saingan UCL.

Featured Image: FC Barcelona

Komen