Seramai 28 daripada 30 pengadil muda yang sedang menyertai Akademi Pengadil Profesional Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah dipilih untuk mengikuti latihan Pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR) Batch Ke-2 bagi membolehkan mereka memperoleh Lesen VAR.
Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, perkembangan tersebut sesuatu yang cukup positif dalam usaha FAM menambah lagi bilangan pengadil yang memiliki Lesen VAR bagi menampung keperluan untuk mengadili perlawanan-perlawanan Liga Super Malaysia.
“Akademi Pengadil Profesional ini merupakan projek FAM yang bermatlamat untuk melahirkan lebih ramai pengadil yang berpotensi untuk mengadili liga tertinggi negara iaitu Liga Super Malaysia.
“Jadi seramai 28 pengadil dalam akademi ini telah pun dipilih untuk mengikuti latihan Pengadil VAR bagi Batch Ke-2 tersebut yang mana rata-rata purata umur mereka adalah dalam lingkungan usia 28 tahun.
“Pemilihan pengadil-pengadil muda dan berpotensi ini adalah berpandukan prestasi ketika perlawanan dan semasa menghadiri kursus Akademi Pengadil Profesional,” kata Dato’ Sivasundaram ketika merasmikan Modul Ke-6 Akademi Pengadil Profesional FAM 2023-2025 yang berlangsung selama lima hari dari 25 hingga 29 November 2024 di Petaling Jaya.
Tegas beliau, pengadil-pengadil ini telah diingatkan bahawa FAM tidak akan bertolak ansur dalam hal yang berkaitan dengan prestasi pengadil.
“Pada masa yang sama, FAM juga akan menjaga kebajikan pengadil-pengadil agar mereka dapat memberi komitmen dan tumpuan pada tugas pengadil.
“Kursus Akademi Pengadil Profesional pada kali lebih memberi tumpuan kepada perlawanan praktikal dan trend ini akan diteruskan sehinggalah modul ke-9.
“Pendedahan pada perlawanan praktikal diharap mampu memberi lebih banyak pendedahan pada situasi perlawanan dan seterusnya membaiki kelemahannya,” jelas Dato’ Sivasundaram.
Ujar beliau lagi, FAM berhasrat untuk melahirkan lebih ramai pengadil cemerlang sama seperti Pengadil FIFA, Muhammad Nazmi Nasaruddin yang berada dalam senarai calon untuk bertugas pada Piala Dunia 2026.
“FAM berharap Projek Akademi Pengadil Profesional ini akan mampu melahirkan lebih ramai pengadil yang berteraskan ‘Thinking Referee’ dan memahami ‘Modern Football’,” tambah Sivasundaram.