Saingan Piala ASEAN 2024 (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF) yang akan bermula dari 8hb Disember kelak dijangka tidak akan disajikan secara percuma oleh saluran televisyen milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Ini susulan Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman berkongsikan bahawa RTM tidak sanggup membayar harga yang tinggi biarpun mencuba sedaya upaya untuk membawakan pelbagai acara sukan kepada rakyat Malaysia.
Pada sama yang sama, pemegang hak siaran pada kali ini turut mengenakan syarat baharu yang turut mempengaruhi harga yang ditawarkan terbabit.
“Kini, pemegang hak siaran (Piala) AFF mengenakan syarat baharu — jika RTM mahu siarkan (Piala) AFF ASEAN, RTM mesti membeli pakej yg mengandungi 4 sukan lain yg tidak diperlukan oleh RTM.”
“Harga yg ditawarkan oleh pemegang hak melebihi 13 juta ringgit. RTM telah berunding berkali-kali. Mereka menurunkan sedikit harga tapi masih jutaan ringgit juga dan syaratnya, RTM mesti membeli semua acara sukan dan tidak secara ala-carte.”
“We must be prudent in spending (Kita mesti berbelanja secara berhemah).”
“Rakyat masih boleh menonton (Piala) AFF, tetapi di Astro. Kami cuba sedaya upaya untuk membawakan pelbagai acara sukan kepada penonton secara percuma tetapi kami tak sanggup membayar harga yang teramat tinggi dan ini semua adalah wang rakyat.” kongsinya menerusi satu hantaran di akaun X peribadinya, pada hari ini.
Penjelasan itu diberikan bagi menjawab persoalan yang dilontarkan oleh seorang pengguna platform X, @amirulkema98, bertanyakan bilakah RTM akan menguar-uarkan berkenaan siaran langsung Piala ASEAN selain mengharapkan RTM menyiarkan sekurang-kurangnya perlawanan melibatkan skuad kebangsaan, Harimau Malaya.
Untuk makluman semua, skuad kebangsaan bimbingan Pau Marti akan memulakan kempen Piala ASEAN 2024 peringkat Kumpulan A dengan menentang Kemboja pada 8hb Disember diikuti dengan Timor Leste selang tiga hari kemudian.
Selepas itu, Harimau Malaya akan berhadapan pula dengan Thailand pada 14hb Disember sebelum berentap menentang Singapura pada 20hb Disember – perlawanan terakhir peringkat kumpulan.