Bengkel kejurulatihan akademi antara LaLiga dan MFL buat kali pertama telah dianjurkan. LaLiga telah berkongsi pengetahuan dan pengalaman kepada 22 orang jurulatih akademi daripada Liga Malaysia.
Jurulatih-jurulatih ini telah menghadiri satu sesi khas yang dibahagikan kepada dua skop pembelajaran, iaitu metodologi dan alat intervensi dimana teras metodologi LaLiga sendiri dan alat latihan seperti model periodisasi atau sistem untuk memantau perkembangan pemain telah diperkenalkan.
Seorang jurulatih LaLiga dari ibu pejabat LaLiga di Madrid telah hadir untuk memberikan latihan ini dan menerangkan Model Permainan LaLiga serta konsep-konsep utama berdasarkan profil pemain LaLiga.
Untuk makluman, LaLiga telah menganjurkan lebih daripada 830 projek sukan antarabangsa di 57 buah negara dimana lebih daripada 240,000 pemain telah dilatih sejak tahun 2015.
Di samping itu, perhatian khas juga diberikan kepada jurulatih tempatan dalam projek antarabangsa, di mana lebih daripada 25,000 jurulatih tempatan telah dilatih dalam pelbagai projek di bawah Metodologi LALIGA – fokus kepada latihan menyeluruh untuk para pemain.
Banyak persekutuan, liga, dan kelab telah melaksanakan projek latihan bersama LaLiga dan kini MFL turut menyertai mereka.
LaLiga telah memberikan tumpuan khas kepada pembangunan bola sepak belia di Malaysia yang mana akademinya terletak di EPSON College.
Pada masa yang saman, LaLiga turut mengekalkan kerjasama bersama sebuah kelab bola sepak di Malaysia iaitu Hijau Kuning FC, yang terletak di Kedah bagi menyokong pembangunan melalui struktur bola sepak belia.
Selain itu, LaLiga turut mempromosikan pertandingan seperti LaLiga Youth Tournament dan LaLiga Youth League yang membantu mempamerkan dan mengembangkan bakat-bakat di Malaysia.
“Bola sepak belia Sepanyol sangat dihargai di peringkat antarabangsa, khususnya oleh jurulatih-jurulatih. LaLiga, sebagai sebuah organisasi yang mempunyai lebih daripada 8 tahun pengalaman dalam pembangunan projek sukan antarabangsa, bakal membantu untuk membawa perspektif baru di peringkat tempatan dengan memperkayakan pembangunan struktur bola sepak belia.”
“Di Malaysia, kami telah mempunyai pelbagai projek kerana kami percaya bakat Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar dan bola sepak mereka akan berkembang dengan pesat dalam beberapa tahun akan datang. Jadi, kerjasama ini adalah langkah yang sangat baik untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan MFL,” ujar wakil Delegasi LaLiga di Malaysia, Adrian Prol.
“Hubungan kerjasama MFL dan LaLiga sudah lama terjalin sejak 2018 di mana pelbagai aktiviti telah diadakan bersama khususnya dalam perkongsian kepakaran dalam bidang pengurusan bola sepak sebelum ini. Dan saya percaya, bengkel pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi melibatkan jurulatih-jurulatih akademi Liga Malaysia bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara kedua-dua organisasi ini malah ia bakal memberikan manfaat kepada peserta yang hadir.”
“Ini kerana kepakaran dan pengalaman yang dimiliki LaLiga dalam membangunkan pemain-pemain muda khususnya dalam menggunakan teknologi dan kaedah terbaru bola sepak moden sudah terbukti dengan pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa jadi adalah sesuatu yang baik buat jurulatih tempatan untuk menimba sedikit sebanyak ilmu daripada jurulatih dari LaLiga dalam bengkel ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL (CEO), Giorgio Pompili Rossi.