Pasukan pertama yang mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia 2024-25, Sabah FC belum membuat sebarang penetapan samada untuk melepaskan atau tidak pemain-pemainnya untuk menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan Piala ASEAN 2024 (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF).
Kejohanan dwitahunan tersebut akan berlangsung di luar daripada Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA – tempoh yang tidak mewajibkan mana-mana kelab untuk melepaskan pemainnya ke skuad kebangsaan – bermula 8hb Disember 2024 dan berakhir pada 5hb Januari 2025.
Menurut ketua jurulatih sementara Sabah FC, Alto Linus, perkara tersebut akan dibincangkan dengan pihak pengurusan.
“Secara jujurnya, ini semua saya akan bincang dengan pihak pengurusan dan kita akan tengok dan lihat macam mana keputusan diorang,”
“Sekarang saya memang berpandukan (mereka), kena bincang dengan (pihak) pengurusan dan saya tidak boleh buat keputusan sendiri,” katanya dalam sidang media selepas menumpaskan PT Athletic FC dengan keputusan 7-0 secara agregat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Rabu.
Sabah FC pula mempunyai sekurang-kurangnya empat pemain yang seringkali dipanggil untuk membarisi skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya iaitu Darren Lok, Stuart Wilkin, Dominic Tan dan Daniel Ting.
Keempat-empat pemain ini juga merupakan tonggak Sabah FC yang pastinya khidmat mereka diperlukan oleh Alto untuk mengharungi saingan Liga Super dan Piala Malaysia sepanjang tempoh itu.
Sementara itu, Wilkin, 26 tahun, menyatakan kesediaannya untuk menyahut panggilan skuad Harimau Malaya sekiranya dipanggil oleh Pau Marti untuk menghadapi saingan Piala ASEAN 2024.
“Sudah tentu, jika nama saya dipanggil, saya sentiasa bersedia untuk mewakili negara saya, Piala ASEAN merupakan kejohanan yang istimewa kerana ia merupakan pangilan pertama saya (ke skuad kebangsaan) sebelum ini, jadi, saya teruja jika berada di situ,” katanya ketika ditemui pengamal media pada malam tadi.
Featured Image: Sabah Football Club