Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus menerima sokongan kewangan lumaya susulan Kumpulan Affin tampil melanjutkan kontrak penajaannya, pada hari ini.
Lanjutan kontrak tersebut menyaksikan Affin akan menghulurkan sokongan kewangan bernilai jutaan Ringgit Malaysia selama tiga tahun bermula 1hb Disember 2024 hingga 30hb November 2027.
Pemeteraian lanjutan kontrak itu ditandatangani oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah dan Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam di Menara Affin @ TRX.
Hasil pemeteraian itu, Affin turut diangkat selaku Rakan Bank Rasmi BAM selain kekal menjadi penaja utama bersama bagi program pembangunan BAM iaitu Affin 100 Plus Junior Elite Tour yang – sebuah inisiatif untuk memupuk perkembangan bakat dan menanamkan semangat kecemerlangan dalam kalangan pemain muda.
Pada masa yang sama, logo Affin pula akan dipaparkan dengan jelas pada seluar bagi skuad berpasukan kebangsaan dan jersi-jersi latihan – melambangkan sokongan teguh terhadap sukan badminton tanah air.