Piala ASEAN: Harimau Malaya Bentuk Skuad Tanpa Tonggak JDT, Selangor & Terengganu
November 29, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya akan menghadapi saingan Piala ASEAN 2024 (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF) tanpa kelibat pemain tonggak daripada Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC.

Perkembangan itu hadir selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai pemain-pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih, Pau Marti untuk menghadapi kejohanan dwitahunan terbabit, pada hari ini.

Antara pemain-pemain tonggak daripada ketiga-tiga kelab berkenaan yang seringkali menyarung jersi Harimau Malaya tidak tersenarai pada kali ini ialah Arif Aiman, Syihan Hazmi, Corbin-Ong, Matt Davies, Feroz Baharudin, Romel Morales, Nooa Laine, Harith Haiqal, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan beberapa pemain lain lagi.

Difahamkan, Pau Marti sukar untuk mengumpulkan pemain-pemain tersebut bersama skuad Harimau Malaya berikutan saingan Piala ASEAN 2024 dilangsungkan di luar daripada Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA – bermula 8hb Disember hingga 5hb Januari. 

Pada masa yang sama, saingan domestik iaitu Liga Super dan Piala Malaysia masih diteruskan seperti dijadualkan dan perkara ini turut menambahkan kerumitan bagi mendapatkan pemain-pemain tersebut.

Bagaimanapun, Pau Marti berhasil mendapatkan beberapa pemain tonggak dari Sabah FC seperti Darren Lok, Stuart Wilkin, Daniel Ting dan Dominic Tan disamping Paulo Josue, Haqimi Azim serta Declan Lambert dari Kuala Lumpur City FC.

Antara lain, Pau Marti turut berhasil mendapatkan khidmat Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC), Sergio Aguero (Sri Pahang FC), Syamer Kutty dan Adib Raop (Penang FC) serta Endrick dos Santos (Ho Chi Minh City FC) dan Fergus Tierney (Chonburi FC).

Selebihnya dibarisi dengan muka-muka baharu seperti Danial Amier Norhisham, Jimmy Raymond (Kuching City FC) dan Harith Samsuri (Negeri Sembilan FC).

“Kejohanan ini memberi peluang yang baik untuk meluaskan kumpulan pemain yang layak menyertai skuad Harimau Malaya, terutamanya dengan tujuan ke arah penglibatan mereka di pentas antarabangsa pada masa akan datang, termasuk Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan.”

“FAM merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada kelab-kelab yang terlibat atas kerjasama dan sokongan mereka dalam melepaskan pemain-pemain yang dipilih menyertai Piala ASEAN 2024.” tulis kenyataan sepertimana disiarkan oleh FAM.

Tambah FAM lagi, senarai yang diumumkan pada hari ini masih boleh diubah sebelum pendaftaran akhir 26 pemain untuk kejohanan ini dimuktamadkan pada 7hb Disember- sehari sebelum bermulanya perlawanan pertama.

Dimaklumkan, pemain-pemain ini akan melaporkan diri bersama skuad kebangsaan bermula 5hb Disember (Khamis) sebelum memulakan cabaran peringkat Kumpulan A dengan menentang Kemboja (8hb) diikuti Timor Leste (11hb) dan Thailand (14hb) serta Singapura (20hb).

Senarai penuh 26 pemain yang dipanggil oleh Pau Marti adalah seperi berikut:

Komen