Selangor FC, G-Shock Keluarkan 1000 Utas Jam Tangan Edisi Terhad – Harga RM495

December 1, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pasukan berpangkalan di Lembah Klang iaitu Selangor FC dan Casio Malaysia tampil mengeluarkan jam tangan edisi terhad khusus bagi jualan dalam pasaran Malaysia di bawah sub-jenama G-Shock pada hari ini.

Pelancaran jam tangan tersebut dilakukan secara rasmi dalam satu majlis yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sekitar tiga jam sebelum sepak mula melibatkan Selangor FC dan Sri Pahang FC – aksi timbal balik pusingan 16 bagi saingan Piala Malaysia 2024-25.

Menerusi majlis tersebut, pihak Casio mendedahkan jam tangan yang didatangkan dengan warna merah kuning – warna tradisi Selangor FC dan bendera Negeri Selangor – itu dikeluarkan sebanyak 1000 utas sahaja.

Ianya dibina berasaskan model G-Shock DW-5600 atau model spesifiknya G-Shock DW-5600SFC24-4 dan diletakkan tanda harga bernilai RM495 bagi setiap utas.

Selain daripada warna merah kuning, tali jam tangan tersebut turut dihiasi dengan logo kelab serta β€œSELANGOR FC”.

Walaupun dikeluarkan secara terhad sebanyak 1000 utas sahaja, pihak Casio Malaysia memaklumkan ianya dihasilkan tanpa nombor siri yang tersendiri – sesuatu yang sering dilakukan oleh kebanyak pengeluar barangan edisi terhad bagi menambahkan nilai eksklusivitinya,

Untuk makluman, penjualan G-Shock DW-5600SFC24-4 terbabit diadakan di ruangan pintu masuk tempat duduk terbuka sebelum sepak mula Selangor dan Sri Pahang.

Sebagai rekod, ini merupakan kali ketiga Casio Malaysia mengeluarkan jam tangan G-Shock kolaborasi dengan badan atau pasukan bola sepak tempatan selepas mengeluarkan dua edisi jam tangan G-Shock x FAM edisi terhad.

Β© 2025 Amanz Media Sdn Bhd