AirAsia Rancang Beri Diskaun Tiket Kepada Penyokong Menyaksikan Saingan Bola Sepak ASEAN

December 2, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyokong-penyokong yang terbang untuk menyaksikan skuad kebangsaan atau kelab kesayangan masing-masing beraksi dalam pertandingan bola sepak di bawah payung jenama ASEAN United FC berkemungkinan akan mendapat diskaun daripada syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia.

Bukan itu sahaja, AirAsia juga merancang untuk menawarkan pakej-pakej tertentu buat para penyokong, difahamkan turut melibatkan penginapan serta pergerakan ke stadium, bagi menyaksikan perlawanan pilihan masing-masing. 

Diskaun dan pakej yang dicadangkan itu akan ditawarkan kepada penyokong yang menyaksikan Piala ASEAN Mitsubishi Electric (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF), Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee, Kejohanan Bawah 23 Tahun (B-23) ASEAN dan Kejohanan Wanita ASEAN – empat pertandingan utama anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di rantau asia tenggara.

Perancangan ini dikongsikan kepada pihak media selepas AirAsia mengumumkan secara rasmi kerjasamanya bersama AFF dan Sportfive di ibu pejabatnya, RedQ, pada hari ini.

“Kami berharap untuk memberikan para penyokong sejenis pakej atau diskaun tiket penerbangan untuk mereka pergi menyaksikan pasukan atau kelab kesayangan mereka beraksi di tempat lawan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Brand Co. iaitu Rudy Khaw ketika ditemui selepas majlis terbabit.

Susulan daripada kerjasama terbabit, AirAsia juga telah diangkat sebagai Rakan Pengembaraan Rasmi ASEAN United FC. 

Pada masa yang sama, AirAsia turut mengharapkan kerjasama ini dapat menguatkan lagi peranannya sebagai daya penyatuan merentasi dan melewati rantau ini, memupuk pertalian yang lebih mendalam kalangan penyokong bola sepak dan komuniti sukan.

Selain itu, kolaborasi ini juga mencerminkan komitmen AirAsia untuk menyokong pembangunan bakat dan atlet yang bercita-cita tinggi di rantau ini dan mempamerkan kemampuan tinggi ASEAN di dalam dan luar padang.

Untuk makluman semua, saingan Piala ASEAN yang membabitkan sepuluh buah skuad kebangsaan iaitu Malaysia, Thailand, Singapura, Kemboja, Timor Leste (Kumpulan A),  Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos (Kumpulan B) akan membuka tirainya pada 8hb Disember kelak dan berakhir pada 5hb Januari 2025.

Sementara itu, saingan Piala Shopee yang melibatkan kelab-kelab terbaik dari rantau ASEAN termasuk Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC masih lagi berjalan dengan dua daripada lima perlawanan telah pun berlangsung.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd