Sesi ‘Town Hall’ Tertutup & Terpilih, Bagaimana Kami Nak Bawa 2,000 Orang? – CEO Selangor FC
December 3, 2024 Hafizuddin Omar

Satu sesi ‘town hall’ melibatkan sebilangan penyokong terpilih seperti kalangan ultras, kelompok casuals, wakil kelab penyokong serta individu yang berpengaruh di media sosial bersama pihak pengurusan Selangor FC telah berlangsung pada Selasa, minggu lalu.

Dimaklumkan sesi terbabit berlangsung bagi memberikan peluang kepada para penyokong tersebut untuk melontarkan persoalan dan mendapatkan jawapan secara terus mengenai situasi semasa kelab daripada pihak pengurusan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr. Johan Kamal Hamidon.

Dikatakan antara 150 hingga 200 orang yang diistilahkan sebagai ‘vokal’ menyertai sesi “town hall” tersebut.

Bagaimanapun, sesi ‘town hall’ itu telah menimbulkan persoalan dan rasa tersisih dalam kalangan penyokong lain seperti pemegang pas bermusim atau penyokong tegar yang kerap hadir ke stadium kerana jemputan diberikan kepada kelompok tertentu sahaja selain diadakan secara tertutup.

Di media sosial, kalangan penyokong ini turut menyuarakan bahawa mereka juga berhak untuk terlibat dalam sesi sebegitu selain mengetahui akan situasi semasa kelab yang mereka sokong dan berhabis duit untuknya.

Mengulas mengenai perkara itu, Dr. Johan berkata pihaknya ambil maklum akan hal tersebut selain telah mula memikirkan mekanisme yang sesuai untuk menyertakan kelompok lain penyokong termasuk kalangan pemegang pas bermusim ke sesi ‘town hall’ terbabit pada masa akan datang.

“Daripada maklum balas yang kami dapat, sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan, Insya-Allah kita boleh mempertimbangkan menghantar jemputan sebagai contoh kepada pemegang pas bermusim,” 

“Sudah tentu kita kena perhalusi mekanisme, seperti saya katakan, kalau ramai sangat ianya akan menjadi tidak efektif,” katanya ketika ditemui pihak media di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.

Kongsinya lagi, Selangor FC mempunyai sekitar 2,000 orang yang memiliki pas bermusimnya bagi musim ini.

“Bagaimana kami nak bawa 2,000 orang datang, adakah akan ada wakil daripada (pemegang) pas bermusim?” katanya lagi selain turut melontarkan beberapa cadangan mekanisme kepada pengamal media.

Seorang pengguna platform media sosial X, @hamizanzafrii, dipercayai turut terlibat dalam sesi “town hall” berkongsikan soalan-soalan yang dilontarkan kepada pihak pengurusan seperti perletakan jawatan Nidzam Jamil, tuntutan pampasan daripada Tan Cheng Hoe, pemilihan pemain baharu samada tempatan atau import, peranan Jawatankuasa Teknikal dan pertukaran lima ketua jurulatih dalam tempoh enam musim dan lain-lain lagi.

Dr. Johan berkata pihaknya telah memberikan penjelasan serta jawapan kepada hampir semua soalan yang dilontarkan semasa sesi “town hall” yang berlangsung sekitar tiga hingga empat jam dan tamat menjelang pukul satu pagi.

Featured Image: Selangor FC

Komen