
Peminat bola sepak di Malaysia kini berpeluang untuk menyaksikan siaran langsung baki kejohanan kalah mati bola sepak England iaitu Piala EFL atau komersilnya, Piala Carabao musim 2024-25 secara langsung di TV Sarawak (TVS).
Perkembangan itu hadir selepas stesen televisyen wilayah berpangkalan di negeri berjulukan Bumi Kenyalang mengumumkan bakal menyajikan perlawanan-perlawanan di kejohanan tersebut secara langsung di platformnya, bermula Disember ini.
Menariknya, TVS bukan sahaja menyiarkan secara langsung perlawanan-perlawanan Piala EFL bahkan menyediakan analisis pra dan pasca perlawanan oleh pakar bola sepak tempatan bagi mengupas taktikal serta strategi setiap pasukan kepada para penonton.
Saingan Piala EFL kini telah memasuki peringkat suku akhir dan satu undian telah dijalankan dimana empat pertembungan melibatkan Arsenal vs Crystal Palace, Southampton vs Liverpool, Newcastle vs Brentford serta Tottenham Hotspur vs Manchester United dijadualkan berlangsung pada 19hb dan 20hb Disember kelak.
Pemenang bagi pertembungan ini akan mara ke peringkat separuh akhir yang akan dimainkan secara timbal balik sebelum mara ke perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Wembley.
Sebagai rekod, Liverpool merupakan juara bertahan selepas menumpaskan Chelsea dengan skor 1-0 hasil jaringan Virgil van Dijk pada minit ke-118 pada Februari lalu.