Gelanggang rasmi bagi Sri Pahang FC iaitu Stadium Darul Makmur mencipta sejarah menjadi stadium pertama di Malaysia menggunakan rumput jenis Bermuda Tifgrand.
Dimaklumkan varian rumput terbabit dilesenkan oleh syarikat dari Jepun dan ianya dipilih untuk menggantikan rumput jenis “cow grass” yang digunakan di stadium berkenaan sebelum ini.
Rumput itu juga mempunyai kelebihannya yang tersendiri dan menjadi sebab Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) memilihnya untuk digunakan di Stadium Darul Makmur.
“Kelebihan Bermuda Tifgrand ini, yang pertamanya ianya tahan lasak. Yang keduanya, ia lebih hijau pekat (warnanya) dan yang ketiganya ia tumbuh rapat, jadi nampak cantik dan yang keempatnya adalah ia serap air.”
“Maknanya kalau dalam hujan pun ia lebih cepat menyerap air jadi saya difahamkan tak adalah bertakung dan sebagainya.” jelas Exco Belia, Sukan & NGO Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal.
“Uniknya rumput ini, ia bukan diambil daripada benih, tapi kita ambil daripada keratan akar.” tambahnya lagi.
Untuk makluman semua, rumput tersebut sudah mula ditanam sejak minggu lalu dan ianya dijangka matang pada Mac 2025.
Penukaran rumput ini dibuat selepas PSDM menerima geran bernilai RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi tujuan penukaran rumput kepada jenis bilah halus dan naik taraf saliran.
Geran ini disediakan oleh KBS bagi menambah baik dan meningkatkan kualiti padang serta memastikan kelancaran perlawanan bola sepak terutamanya bagi saingan Liga Malaysia.
Selain itu, Fadzli turut memaklumkan sistem siraman automatik (pop-up sprinkler) juga telah dipasang di padang berkenaan dan berfungsi dengan baik menggunakan air kitaran semula daripada air hujan dengan kapasiti simpanan sehingga 150,000 liter.
Featured Image: Facebook Fadzli Kamal