BAM, Yonex Lanjut Kerjasama Sehingga Tahun 2028
December 4, 2024 Hafizuddin Omar

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan terus menggunakan raket, bulu tangkis termasuk jersi dan pelbagai kelengkapan sukan jenama Yonex sehingga tahun 2028.

Perkembangan ini hadir selepas badan induk badminton tanah air dan jenama kelengkapan sukan dari Jepun serta pengedarnya di Malaysia, Sunrise Sports Sdn. Bhd. mengumumkan melanjutkan kerjasamanya, pada hari ini.

Lanjutan ini turut menyaksikan Yonex bukan sahaja menyediakan peralatan kepada pemain-pemain kebangsaan bahkan turut diangkat sebagai Pembekal Kelengkapan Rasmi bagi saingan Terbuka Malaysia, Malaysia Masters dan pertandingan-pertandingan anjuran BAM.

Untuk makluman semua, kerjasama BAM dan Yonex pada ketika ini sepatutnya tamat pada tahun 2026.

Bagaimanapun, ianya dilanjutkan sehingga 2028 menandakan kepercayaan Yonex kepada BAM serta perkongsian komitmen dan memastikan persediaan tanpa gangguan untuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Sebagai rekod, kerjasama BAM dan Yonex telah bermula dari 2005 dan bertahan selama sedekad. Setelah itu, kedua-dua entiti ini kembali menjalinkan kerjasamanya semula pada tahun 2021.

Featured Image: BAM

Komen