
Edisi pertama Malaysia Kidslympic atau Limpik Kanak-Kanak Malaysia 2024 anjuran Akademi Olimpik Kebangsaan Malaysia akan berlangsung pada 28hb dan 29hb Disember kelak bertempat di Stadium Merdeka.
Ianya merupakan satu platform buat kanak-kanak yang berusia 5 hingga 12 tahun bersaing dalam pelbagai sukan seperti gimnastik, taekwando, pentatlon moden, bola keranjang, sofbol, bola tampar dan olahraga.
Dimaklumkan, inisiatif dijalankan bertujuan untuk memupuk bakat, menggalakkan aktiviti fizikal, menyemai nilai-nilai kecemerlangan, hormat-menghormati serta memupuk persahabatan dalam kalangan generasi akan datang dengan cara yang menyeronokkan.

Penganjuran Malaysia Kidslympic ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan penganjur memaklumkan akan membawa lebih 1,500 kanak-kanak dari seluruh negara untuk meraikan semangat kesukanan, perpaduan dan pemerkasaan belia dalam persekitaran yang menyeronokkan.
Oleh yang demikian, murid-murid sekolah yang menghadiri Malaysia Kidslympic ini akan mendapat markah dalam Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK).
Bersempena dengan pelancarannya pada hari ini, penganjur turut mendedahkan logo Malaysia Kidslympic yang melambangkan inklusif, bertenaga dan potensi tanpa batas kanak-kanak Malaysia.
Selain itu, majlis itu turut mengumumkan pelantikan bekas pemain badminton beregu campuran negara yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik bersama-sama Chan Peng Soon iaitu Goh Liu Ying sebagai Ikon Kidslympic.