Berakhirnya Era Hamidin Sebagai Presiden FAM

December 4, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kepimpinan Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd. Amin selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menemui titik noktahnya pada pertengahan Februari kelak.

Perkembangan ini hadir selepas beliau memaklumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal baharu iaitu penggal 2025-2029 yang akan diadakan pada Kongres Tahunan FAM Ke-61 pada tahun hadapan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat untuk memberi ruang kepada ahli-ahli gabungan memilih presiden yang baharu.

Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Hamidin sendiri turut menetapkan Kongres Tahunan FAM Ke-61 akan dilangsungkan pada 15 Februari 2025 bertempat di Dorsett Grand Subang bermula jam 10 pagi.

Sebagai rekod, Hamidin mula menjawat jawatan Presiden FAM pada penggal 2018-2021 selepas memenangi pemilihan pada Kongres FAM Ke-54 pada 14hb Julai 2018.

Selepas itu, Hamidin berjaya mengekalkan jawatannya selaku pentadbir No.1 bagi badan induk bola sepak tanah air pada penggal seterusnya, penggal 2021-2025 selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM Ke-57 pada 13hb Mac 2021.

Untuk makluman, Hamidin mula menyertai FAM apabila terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM bagi penggal 2007-2010 diikuti dengan menjawat jawatan Naib Presiden FAM bagi penggal 2010-2014.

Kemudiannya, Hamidin dilantik pula mengisi jawatan Setiausaha Agung FAM bermula 1hb Julai 2013 dan memegang jawatan terbabit sehingga 14hb Julai 2018.

Featured Image: FAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd