
Perhimpunan Agung FIFPRO Global yang berlangsung di Bali, Indonesia pada 26hb-28hb November lalu menyaksikan individu dari Malaysia dilantik membarisi kepimpinan baharu FIFPRO Asia/Ocenia.
Individu tersebut ialah Izham Ismail yang berkhidmat selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sejak tahun 2014.
“Sepanjang tempoh ini, beliau memainkan peranan penting dalam mewakili pemain bola sepak professional, temasuk dalam pertikaian kontrak dan isu pekerjaan di hadapan Jawatankuasa Status FAM serta Kamar Penyelesaian Pertikaian FIFA.” tulis kenyataan oleh PFAM yang turut berkongsikan pemilihan Izham selaku Naib Presiden FIFPRO Asia/Oceania.
“Dengan pemilihan ini, Izham dijangka memainkan peranan penting dalam memacu agenda hak pekerja, melindungi kontrak pemain dan memperkukuhkan kesatuan pemain bola sepak di rantau Asia/Ocenia,” tambah kenyataan itu lagi.
Untuk makluman, Izham bukanlah satu nama asing di peringkat antarabangsa dimana beliau turut berkhidmat sebagai Ahli Lembaga FIFPRO Asia/Oceania sejak 2015 dan Ahli Lembaga FIFPRO Global dari tahun 2021 hingga 2024.
FIFPRO Asia/Oceania merupakan suara kolektif antarabangsa eksklusif bagi lebih 6,000 pemain bola sepak profesional di rantau ini yang merangkumi 12 ahli kesatuan termasuk PFAM.
Barisan kepimpinan baharu FIFPRO Asia/Oceania adalah seperti berikut:
Presiden
- Beau Busch (Australia)
Naib Presiden
- Anna Green (New Zealand)
- Izham Ismail (Malaysia)
Ahli Lembaga
- Takuya Yamazaki (Jepun)
- Salman Al-Ansari (Qatar)
- Hyebin Kang (Korea Selatan)
Setiausaha Agung
- Shoko Tsuji (Jepun)
Sementara itu, perhimpunan itu turut menyaksikan perubahan dalam struktur kepimpinan organisasi global terbabit dimana Sergio Marchi dari Argentina dipilih sebagai presiden baharu, presiden pertama dari luar eropah serta Alexander Philips selaku Setiausaha Agung.
Bukan itu sahaja, perhimpunan terbabit turut menyaksikan Iceland, Kyrgyzstan dan Uzbekistan menjadi ahli penuh FIFPRO manakala Lithuania dan Ireland Utara dinaikkan status daripada pemerhati kepada calon ahli.