Gagal Bayar Gaji Tertunggak & Pampasan, Perlis FA Digantung Daripada Menjadi Ahli Gabungan FAM
Hafiz Omar

Persatuan Bola Sepak Perlis (Perlis FA) kini digantung daripada menjadi Ahli Gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara gagal menyelesaikan pembayaran penuh tunggakan gaji dan pampasan kontrak sepertimana diarahkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi keputusan yang dikeluarkan pada 4hb Disember 2019.
Tunggakan dan pampasan itu dituntut oleh bekas Pengarah Bola Sepak Perlis FA iaitu Matt Hollland – individu yang pernah menjadi Pengarah Teknikal Buriram United serta penolong jurulatih Bengaluru FC dan Port FC.
Aduan telah dibuat oleh Holland selepas Perlis FA gagal menjelaskan bayaran tersebut dan FIFA menerusi surat bertarikh 11hb November 2024 telah membuat keputusan terbaharu iaitu mengarah Perlis FA membayar sebanyak RM998,658 kepada Holland dan denda sebanyak CHF15,000.
Sementara itu, FAM yang telah dinamakan sebagai responden kedua (kerana gagal memastikan Perlis FA mematuhi keputusan FIFA) telah dikenakan denda sebanyak CHF5,000.
Sekiranya tiada pembayaran dibuat Perlis FA, tindakan boleh diambil oleh FIFA terhadap FAM sebagai responden kedua, antaranya sekatan terhadap peruntukan kewangan sebanyak 20% daripada Program FIFA Forward (yang merupakan geran pembangunan daripada FIFA) sehingga selesai bayaran tersebut.
Keputusan untuk menggantung Perlis FA daripada menjadi Ahli Gabungan FAM itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd. Amin pada Rabu.
“Keputusan menggantung Perlis FA ini dibuat berdasarkan Artikel 17 Statut FAM yang dengan jelas menyatakan bahawa Jawatankuasa Eksekutif FAM boleh menggantung ahli tersebut apabila ahli secara serius melanggar obligasi sebagai ahli dan dalam kes ini Perlis FA secara serius telah melanggar arahan atau keputusan daripada FIFA.”
“Penggantungan ini dibuat bagi mengelak FAM dikenakan tindakan lanjut oleh FIFA termasuk FAM perlu membayar semua bayaran yang harus dibayar oleh Perlis FA dan sehingga boleh menyebabkan FAM dipertanggungjawabkan untuk kesemua hutang tersebut.” jelas kenyataan yang disiarkan oleh FAM.
Penggantungan ini dikenakan kira-kira dua bulan sebelum berlangsungnya Kongres Tahunan FAM Ke-61 yang akan diadakan juga pemilihan untuk memilih kepimpinan baharu FAM bagi penggal 2025-2029.