FAM Akan Lantik Pengendali Baharu, Khidmat Pau Marti Berakhir Selepas Piala ASEAN
December 5, 2024 Hafizuddin Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sah tidak akan menggunakan khidmat Pau Marti untuk mengendalikan skuad bola sepak senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya untuk menghadapi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 pada tahun hadapan.

Perkembangan itu hadir selepas Pau Marti memaklumkan sendiri bahawa tugasannya akan berakhir selepas tamatnya saingan Piala ASEAN 2024 (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF).

“Saya ingin memaklumkan bahawa Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 akan menjadi tugasan terakhir saya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.” katanya menerusi satu kenyataan yang dikongsikan pelbagai platform media sosial FAM, pada hari ini.

Menurut Pau Marti, perkembangan itu hadir berikutan FAM bakal melakukan penstrukturan semula Pengurusan Pasukan Kebangsaan.

“Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula ini, ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang baharu akan dilantik untuk kempen Kelayakan Piala Asia 2027 mulai tahun depan.”

“Berikutan itu, saya dan barisan kejurulatihan akan menamatkan perkhidmatan kami bersama skuad Harimau Malaya pada akhir kempen Piala Mitsubishi Electric ASEAN.” tambahnya lagi.

Untuk makluman semua, Pau Marti merupakan sebahagian daripada barisan kejurulatihan Kim Pan-gon dengan menjawat jawatan penolong ketua jurulatih.

Selepas Pan-gon mengumumkan perletakan jawatannya sekitar pertengahan Julai lalu, FAM bertindak melantiknya sebagai pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya sehingga ke penghujung tahun ini.

Featured Image: FAM

Komen