
Selangor FC bimbingan Katsuhito Kinoshi berjaya melakar kemenangan besar dengan keputusan 4-0 ke atas Dynamic Herb Cebu FC dalam perlawanan akhir peringkat Kumpulan H bagi saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Kemenangan besar tersebut hasil jaringan berganda Yohandry Orozco (44’, 48’) serta satu jaringan oleh Nooa Laine (57’) dan Alvin Fortes (79’) masing-masing.
Bagaimanapun, ianya menjadi satu kemenangan yang sia-sia kerana tidak dapat membawa skuad berjulukan Gergasi Merah itu ke peringkat kalah mati.
Puncanya berikutan satu lagi perlawanan akhir melibatkan Kumpulan H menyaksikan Muangthong United FC berjaya menumbangkan Jeonbuk Hyundai Motors FC dengan keputusan 1-0.


Kemenangan tipis kelab dari Thailand itu sudah memadai untuk mengekalkan Muangthong United FC di tangga kedua Kumpulan H dengan kutipan 11 mata daripada enam perlawanan.
Sementara itu, Jeonbuk Hyundai Motors FC yang sedang bertarung untuk kekal dalam saingan K-League 1 bagi musim hadapan pula muncul juara Kumpulan H dengan kutipan 12 mata daripada enam perlawanan.
Untuk makluman, ini merupakan penyingkiran kedua yang dialami Selangor FC dalam pertandingan berpiala selepas terkeluar daripada saingan Piala Malaysia 2024-25 susulan tewas di tangan Sri Pahang FC dengan keputusan 2-3 secara agregat pada Ahad lalu.
Ketika ini, Selangor FC masih berpeluang untuk menutup saingan musim ini dengan merangkul sekurang-kurangnya satu piala dengan memburu kejuaraan Liga Super atau Challenge Cup.
Featured Image: AFC