Piala ASEAN: Harith Haiqal Dipanggil Saat Akhir, Rahadiazli Tersisih Kerana Masalah Kesihatan

December 6, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pertahanan muda Selangor FC di posisi pertahanan, Harith Haiqal dipanggil saat-saat akhir untuk membarisi skuad senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya bagi menghadapi saingan Piala ASEAN 2024 (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF).

Menurut perkongsian oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pemain berusia 22 tahun yang memiliki ketinggian 1.80 meter (m) itu dipanggil oleh ketua jurulatih, Pau Marti bagi menggantikan pemain Negeri Sembilan FC, Muhammad Harith Samsuri yang mengalami kecederaan.

Sementara itu, penjaga gol Terengganu FC yang berusia 23 tahun iaitu Rahadiazli Rahalim tersisih daripada skuad kebangsaan berikutan masalah kesihatan.

Susulan kekosongan tersebut, Pau Marti bertindak dengan memanggil penjaga gol Johor Darul Ta’zim II iaitu Haziq Aiman yang berusia 19 tahun untuk menggantikan Rahadiazli.

Pada masa yang sama, FAM turut memaklumkan seorang lagi pemain iaitu Haykal Danish dari Selangor FC B-23 yang berusia 19 tahun turut dipanggil menyertai kem skuad Harimau Malaya sebagai pemain tambahan jika berlaku kecederaan atau sebarang kemungkinan ke atas pemain-pemain lain.

Sebagai tambahan, senarai akhir 26 pemain untuk didaftarkan bagi kempen Piala ASEAN 2024 hanya akan dimuktamadkan pada 7hb Disember (Sabtu) iaitu sehari sebelum perlawanan pertama melibatkan Kumpulan A.

Harimau Malaya akan membuka saingan Piala ASEAN dengan turun berhadapan pasukan yang menghuni ranking ke-180 dunia, Kemboja pada 8hb Disember (Ahad) dengan sepak mula pada jam 6.45 petang.

Featured Image: AFC & Terengganu FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd