Piala ASEAN: Pau Marti Namakan 3 Pemain Sebagai Kapten Harimau Malaya
December 6, 2024 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih skuad bola sepak senior kebangsaan, Pau Marti bertindak memberikan amanah kepada tiga pemain memimpin rakan sepasukan dalam skuad Harimau Malaya bagi mengharungi saingan Piala ASEAN 2024 (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF).

Tiga pemain yang terpilih untuk memakai lilitan lengan di dalam perlawanan-perlawanan bagi saingan itu kelak ialah Syamer Kutty (Penang FC, 27 tahun), Dominic Tan (Sabah FC, 27 tahun) dan Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC, 29 tahun).

Keputusan pemilihan tiga pemain selaku kapten skuad Harimau Malaya itu dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di pelbagai platform media sosialnya kira-kira tiga jam sebelum pasukan berlepas ke Phnom Penh, Kemboja, pada hari ini.

Untuk makluman semua, kejohanan dwitahunan anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang akan berlangsung dari 8hb Disember hingga 5hb Januari ini akan dihadapi oleh Harimau Malaya tanpa pemain tonggak daripada Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC.

Antaranya Arif Aiman, Syihan Hazmi, Corbin-Ong, Matt Davies, Feroz Baharudin, Romel Morales, Nooa Laine, Mukhairi Ajmal, Azim Al Amin, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan beberapa nama lain lagi.

Ini susulan saingan domestik terutamanya Liga Super dan Piala Malaysia berjalan seperti biasa pada tempoh tersebut selain Piala ASEAN itu sendiri berada di luar daripada Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA – yang tidak mewajibkan kelab-kelab melepaskan pemain-pemainnya ke skuad kebangsaan.

Sebagai tambahan, Harimau Malaya telah diundi dalam Kumpulan A bagi saingan ini dan akan memulakan kempen dengan menentang Kemboja diikuti Timor Leste, Thailand dan Singapura.

Featured Image: FAM

Komen