Zii Jia Akan Lantik Jurulatih Baharu, Kontrak Tat Meng Tamat Hujung Bulan
December 6, 2024 Hafizuddin Omar

Jodoh pemain perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia bersama jurulatihnya iaitu Wong Tat Meng, 57 tahun, akan berakhir pada penghujung bulan ini.

Dimaklumkan, kerjasama melibatkan kedua-dua pihak itu bakal menemui titik noktahnya selepas berlangsung selama hampir setahun dan setengah berikutan Tat Meng mahu membawa haluan berbeza.

“Dengan berat hati dan penuh rasa terima kasih, Team LZJ menerima keputusan Pengarah Kejurulatihan, Wong Tat Meng untuk meneruskan fasa berbeza dalam karier kejurulatihannya.” tulis kenyataan yang dikongsikan Team LZJ sekitar tengah hari tadi.

“Sejak menyertai (Team LZJ) pada Julai 2023, Coach Tat Meng telah memainkan peranan penting dalam membimbing Lee Zii Jia kembali dalam kelompok 10 terbaik dunia, memenangi gelaran juara dan membawa pulang pingat gangsa daripada Sukan Olimpik Paris 2024.” tambah kenyataan itu lagi.

Walaubagaimanapun, Tat Meng akan terus berkhidmat dengan Team LZJ sehingga kontraknya tamat secara rasmi pada 31hb Disember 2024. Pada saat ini, Tat Meng sedang melakukan persedian buat Zii Jia untuk menghadapi saingan Jelajah Dunia BWF yang akan berlangsung minggu hadapan.

Susulan daripada perkembangan ini juga, Team LZJ mendedahkan akan melantik individu baharu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tat Meng dan satu pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.

“Pasukan juga sedang melakukan persediaan untuk memulakan musim 2025 dengan kitaran Sukan Olimpik yang seterusnya.” ujarnya.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

Komen