
Bencana banjir yang melanda pantai timur semenanjung khususnya bumi Kelantan pada ketika ini turut menimpa beberapa kediaman pemain finalis Liga A2 Piala Al-Ikhsan iaitu Kelantan WTS FC.
Antara yang menjadi mangsa sehingga memusnahkan kediaman mereka dengan teruk adalah bekas pemain pemain sayap yang pernah menyarung jersi skuad senior kebangsaan, Nazrin Nawi.
Selain Nazrin yang kini berusia 36 tahun, terdapat enam lagi pemain daripada kelab berpangkalan di Pasir Mas itu mengalami nasib yang sama, kediaman ditenggelami banjir.
“Tujuh orang pemain kita ni (ditimpa) banjir yang teruk sampai ke harini, salah seorang pemain yang ada nama, Nazrin Nawi, rumahnya di Tumpat ‘total loss’ (dan) hancur,” katanya dalam sidang media praperlawanan akhir bertempat di Wisma FAM.

Namun begitu, ketua jurulatih Kelantan WTS FC, Che Saufi Ibrahim memaklumkan perkara tersebut tidak mematahkan semangat anak-anak buahnya bahkan menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi dengan tetap memberikan fokus menyertai sesi latihan sebagai persiapan untuk bertemu GSA FC dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada 6hb Disember (Jumaat) di Stadium UiTM, Shah Alam.
“Daripada segi persiapan kita tu adalah sedikit sebanyak kesulitan, (negeri) Kelantan maklum sajalah dilanda banjir yang teruk walaupun sesetengah padang tu tak dinaiki air tapi nak ke padang tu susah (jalan dinaiki air),”
“Walaubagaimanapun, perjalanan itu tetap diteruskan dan kami berusahalah untuk sampai ke harini (semalam),” ujarnya.

Untuk makluman, WTS FC yang turut dibarisi bekas pemain Liga Super, Wan Zaharulnizam dan lain-lain lagi menempah tiket perlawanan akhir setelah melakar kemenangan 10-0 secara agregat ke atas Semantan Troopers FC pada peringkat separuh akhir.
Bukan itu sahaja, mereka menjadi satu-satunya pasukan yang melangkah ke pentas akhir dengan rekod cemerlang tanpa sebarang kekalahan bermula peringkat kumpulan.
Sementara itu, lawannya pula, GSA FC yang turut mendapat bimbingan dan sokong bekas pemain kebangsaan, Amar Rohidan mara ke perlawanan akhir selepas menumbangkan MPPD FC dengan keputusan 3-0 secara agregat.
Sebagai tambahan, pasukan yang merangkul kejuaraan akan meraih ganjaran wang tunai sebanyak RM50,000 manakala naib juara pula akan menerima RM30,000.

Featured Image: Wan Tendong Stable FC